Salam, rasa lama diri ini menyepi daripada dunia blog. Kebiasaan, orang akan menulis menyambut satu ramadhan, tetapi saya sudah terlambat 7 Ramadhan di sebabkan kehidupan kampus yang sibuk dan kesusahan mencari line internet di sini. Ah, alasan semata-mata.
Alhamdulillah, seusai peperikasaan pertengahan tahun untuk kertas pertama, (ada banyak lagi kertas yang menunggu), terdetik hati untuk menulis tentang Ramadhan dan sedikit sebanyakkan tentang diri kita terutamanya yang bergelar pelajar. Maka, sedikit masa belajar dicuri walaupun berbakul-bakul buku sedang menanti di bilik.
Secara jujurnya, perasaan menyambut Ramadhan kali ini agak berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu. Entah mengapa, sedikit terasa sikit amalan yang dibuat. Kebanyakan masa di habiskan dengan membaca buku kerana peperiksaan di jalankan pada waktu Ramadhan. Itu belum lagi ditambah dengan jadual kelas yang padat. Terasa diri ini macam robot.
Tetapi tetap ku pujuk hati ini untuk mengikhlaskan diri kerana menuntut ilmu itu juga salah satu ibadah. Itupun jika diikhlaskan hati Lillahitaala. Hakikatnya, kita bukan robot jika sesuatu yang kita buat itu ada tujuannya, matlamatnya, dan diniatkan kerana Allah.
Orang sering kata, Ramadhan adalah bulan latihan, Ramadhan adalah bulan ibadah, Ramadhan adalah bulan mencari keampunan Allah. Seharusnya, Ramdhan dijadikan bulan untuk kita berubah menjadi lebih baik.
Tetapi, hakikatnya, hanya Allah yang tahu. Adakah kita benar-benar menghayati apa itu Ramadhan. Adakah kita benar-benar berjihad melawan hawa nafsu, mendidik diri ke arah yang lebih baik? Adakah kita benar-benar mengambil penghayatan Ramadhan? Adakah jiwa kita benar-benar merindui Ramadhan? Nak tahu jawapannya, kita lihat sikap dan akhlak kita selepas Ramadhan, jadi lebih baik atau sebaliknya.
Namun, kita kena ingat, walau sibuk mana pun kita, Ingatlah, pada bulan inilah kita harus pergiatkan ibadah, persiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi godaan syaitan seusai habisnya Ramadhan. Maka, peluang ini haruslah di rebut terutamanya mereka yang bergelar pelajar. Kerana, seorang yang bergelar pelajar, seharusnya mempunyai hubungan yang baik dengan TuhanNya. Hakikatnya, ilmu itu adalah dari Allah. Dan dunia ini adalah sekolah kita. Maka, setinggi mana pun kita belajar, sehebatnya mana pun ijazah kita, hakikatnya, kita masih lagi seorang pelajar.
~ Cinta sejati tidak akan bertambah kerana kebaikan, dan tidak berkurangan kerana kelemahan~