Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana di beri kesempatan untuk saya hidup apatah lagi meluahkan rasa di ruang blog ini. Bukan mudah untuk saya mencoret kata-kata yang indah mahupun puitis. Baru kini saya tahu, bukan mudah untuk menjadi seorang blogger apatah lagi seorang penulis. Penulis memerlukan rasa untuk menyentuh hati pembaca. Namun, apakah saya mampu sampai ketahap itu?
Penulisan dan daya intelek.
Penulis memerlukan daya intelek yang tinggi serta kemampuan untuk menyampaikan mesej dengan jelas dan tepat kepada pembaca. Oleh itu, pembacaan yang banyak amat penting selain pengalaman dan pemikiran yang luas bagi seorang penulis. Semua kriteria ini juga melambangkan daya intelektual seseorang. Dari gaya penulisan, kita mampu menjangka daya intelektual seseorang.
Membaca amat penting dalam kehidupan manusia. Seharusnya minat membaca perlu ditanam dalam diri kita. Menyentuh soal minat membaca, saya teringat surah yang pertama di turunkan Allah kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril yang jelas menitik beratkan minat membaca
“Bacalah( wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”
(Surah Al-A’laq;ayat 1)
Namun persoalan di sini, adakah dengan membaca sahaja, tanpa memahami konteks bacaan apatah lagi mengkaitkan ia dengan kehidupan seharian itu sudah cukup memadai? Sudah tentu tidak. Orang yang sebegini sebenarnya tidak memahami tujuaan mereka membaca.
Orang yang membaca tanpa berfikir serupa orang kanak-kanak kecil membaca buku ABC secara terbalik. Malah saya boleh katakan kanak-kanak itu lebih baik daripada mereka.
Apatah lagi orang yang membaca tanpa memikirkan keagungan Allah, Tuhan yang Maha Mencipta segala yang berada dimuka bumi mahupun di langit. Berani saya saya katakan orang sebegini adalah orang yang melampau, bebal lagi sombong! Apatah lagi jika orang itu sendiri seorang muslim!
“Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampui batas(yang sepatutnya atau yang sewajibnya).
(Surah Al-Alaq;ayat 2-5)
Membaca juga perlulah dengan niat ikhlas kerana Nya; untuk meningkatkan ilmu pengetahuan demi mengenali siapa pencipta alam ini. Bukan kerana ibu bapa. Bukan kerana pensyarah apatah lagi peperiksaan. Malah, Allah Rabbul Izzati menyuruh kita memahami setiap isi bacaan supaya kita mendapat ilham untuk menulis artikel yang baik , mencoret karya yang kreatif ,dan mencipta ayat-ayat serta sajak yang puitis, apatah lagi memuji keagung Nya.
Sesungguhnya, ilham yang baik itu sudah tentu datangnya dari Allah, bagi mereka yang membaca dan berfikir sahaja. Oleh itu, jelaslah disini akan kepentingan membaca, berfikir dan memahaminya. Barulah orang itu layak dikatakan mempunyai intelektual yang tinggi.
Tetapi….
Tetapi, sejauh mana kita mempraktik serta menghayati surah ini? Malah secara jujur saya tak pernah terfikir tentang semua ini sehinggalah saya menjejak kaki ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Saya tak pernah mengkaitkan segala apa yang saya pelajari, buku yang saya baca mahupun hasil penulisan saya dengan kebesaran Allah S.W.T. Ternyata saya dulu juga seorang yang bebal dan sombong! Semoga Allah S.W.T mengampuni dosa kita semua.
UIA ku cintai
Namun, Alhamdulillah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai seorang pelajar. Terima kasih pensyarah.
Mana taknya, selaku seorang jurusan sains, saya dan rakan-rakan diajar berfikir untuk mengkaitkan hubungkan antara Islam dengan ilmu hakta soalan dalam peperiksaan sekalipun. Setiap kelas yang kami hadiri membuat kami insaf (bagi mereka yang berfikir) dan terasa kerdil jika dibandingkan dengan Allah S.W.T. Misalnya kewujudan DNA yang cukup jelas membuktikan keagungan Allah (kalau nak tahu, sila la buat rujukan sendiri).
SubhanaAllah!
Sungguh menakjubkan!
Sungguh menginsafkan!
Menulis kerana untuk mengetahui.
Meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal dalam blognya, www.saifulislam.com (kalau tak diberitahu pun, pasti ramai yang sudah tahu);
“Menulis bukan untuk memberi TAHU tetapi berusaha mencetus MAHU agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan, tetapi upaya membuka laluan kembara insan mencari TUHAN - ABU SAIF ”
Indah bukan. Tak mungkin saya mampu ketahap itu kerana banyak kekurangan dan kelemahan yang saya miliki. Sebab itu saya lebih selesa mengatakan saya menulis kerana ingin MENGETAHUI.
Dengan menulis, saya dapat mengetahui pelbagai benda supaya saya jelas dengan apa yang ingin saya tulis. Oleh itu barulah saya MAMPU berkongsi rasa MAHU dengan pembaca.
Menulis juga seolah-olah seperti ‘komputer’ yang menyimpan pelbagai data-data yang kita baca. Hanya dengan menulis, kita tak mungkin akan lupa apa yang kita baca. Kalau lupa, kita boleh buka ‘komputer’ , dan rujuk balik apa yang kita baca sebelum ini.
Sebab itulah angin-angin kegemilangan ketamadunan Islam tak pernah hilang di telan zaman kerana para intelektual Islam gemar menulis.
Sayang sekali, saya gagal menteladani mereka. Banyak benda yang saya baca tak mampu dikongsi serta dimanfaatkan bersama-sama rakan-rakan kerana sifat malas saya untuk menulis. Mengapa sebelum ini saya tidak menyedari hal ini. Ternyata saya dulu juga seorang yang melampau batas, bebal dan sombong! Saya gagal menjadi manusia yang baik!
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.”
[Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dalam al-Afraad dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami' al-Saghir, hadis no - 3289]
2 comments:
Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan, tetapi keupayaan untuk membuka jalan... kembara insan mencari Tuhan - ABU SAIF
tulis lah setulus hati pasti ada yg memerhati(membaca)
Post a Comment